AM

JANGKITAN INFLUENZA MENURUN PADA ME45 - KKM

14/11/2025 04:29 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kadar jangkitan influenza di negara ini mencatat sedikit penurunan pada minggu epidemiologi ke-45 (ME45), iaitu bagi tempoh 2 hingga 8 Nov lepas, terutamanya dari segi kadar konsultasi Influenza-Like Illness (ILI) dan kadar positif influenza.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan berkenaan adalah melalui survelan ILI dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) serta pelaporan wabak melalui kejadian kluster yang dikendalikan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Sehingga kini, jujukan genom menunjukkan tiada sebarang mutasi baharu virus influenza dikesan di Malaysia. Pada ME 45/2025, kadar konsultasi ILI adalah 7.32 peratus, menurun berbanding 8.34 peratus pada ME 44/2025. Secara keseluruhan, aktiviti ILI tahun 2025 masih berada dalam julat sederhana,” menurut KKM.

Sebanyak 46 kluster influenza dilaporkan pada ME 45/2025, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 43 kluster pada minggu sebelumnya dan ia termasuk rumah persendirian yang menjadi penyumbang tertinggi kluster selain sekolah, tadika dan taska.

“Kebanyakan individu yang dijangkiti virus influenza akan pulih sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari hingga seminggu.

“Bagaimanapun, jangkitannya boleh menyebabkan komplikasi serius kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik, justeru mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran,” menurut KKM.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan