SEREMBAN, 14 Nov (Bernama) -- MK Curtain Group melangkah ke fasa baharu transformasi rumah pintar menerusi pelancaran jenama gaya hidup pintar, MK Ai Care iaitu teknologi perapian rambut yang menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dalam mencipta pengalaman relaksasi automatik.
Pengasas Bersama MK Curtain Group Datin Moon Sze Fui berkata sistem inovatif itu mampu mengenal pasti kedudukan kepala pengguna, melaras suhu dan tekanan air secara automatik, mengaktifkan fungsi urutan belakang, serta mengeringkan dan merawat rambut dengan kawalan pintar.
Moon berkata cawangan pertama MK Ai Care kini beroperasi di OE Resort, Mantin, Nilai sebagai ruang pameran kolaboratif antara OE Group dan MK Curtain yang menampilkan gaya hidup masa depan berasaskan teknologi serta keselesaan.
“Ruang relaksasi MK Ai Care ini tidak memerlukan tenaga kerja manual sebaliknya setiap proses dikawal oleh data pintar dan sentuhan automatik yang konsisten.
“Sistem AI akan menyesuaikan corak urutan, tekanan air dan suhu berdasarkan keutamaan individu, menjadikan setiap sesi rawatan sebagai pengalaman relaksasi peribadi yang human-centric," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MK Ai Care turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Outlet Pencucian Rambut AI-Automatik Pertama di Malaysia pada majlis prapelancaran di OE Resort, Nilai baru-baru ini.
Moon berkata produk tersebut juga diintegrasikan dengan produk MK Curtain seperti langsir pintar dan komponen rumah lain, sekali gus membentuk ekosistem gaya hidup MK Smart Home yang menyeluruh.
Beliau berkata MK Curtain merancang memperkenalkan konsep store-in-store di seluruh negara, bagi membawa pengalaman AI Smart Relaxation kepada lebih ramai pelanggan di bandar utama dan komuniti setempat.
“Kami turut menyasarkan 100 lokasi dalam pusat beli belah, kawasan kediaman dan resort di seluruh negara,” katanya.
-- BERNAMA
