SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) di peringkat negeri akan diperhalusi dan disesuaikan dengan konteks perkhidmatan awam Selangor, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata pelaksanaan insentif itu dijangka memberi manfaat kepada 320 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional kerajaan negeri dengan anggaran implikasi tambahan sebanyak RM3,358,620.
“Pelaksanaan itu adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata pelaksanaan BIPs adalah susulan pengumuman insentif itu di dalam Belanjawan Persekutuan pada 10 Okt lepas dengan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menyelaraskan dasar dan menerima pakai peraturan tersebut di peringkat negeri agar seiring dengan hasrat Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata melalui perluasan itu, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam hingga lapan tahun mengikut gred jawatan semasa serta menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang, akan diberikan insentif khas bersamaan dengan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan pada gred semasa, yang akan dibayar secara bulanan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 diselaraskan sepenuhnya dengan hala tuju Belanjawan Persekutuan.
Pelaksanaan SSPA Fasa 2 itu, katanya akan memanfaatkan 8,914 pegawai perkhidmatan awam negeri Selangor dengan implikasi (kewangan) tambahan sebanyak RM20 juta.
-- BERNAMA
