AM

PENJAWAT AWAM PULAU PINANG TERIMA BKK 0.75 BULAN GAJI - CHOW

14/11/2025 06:22 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 3,954 penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata bantuan berkenaan akan dibayar pada bulan depan yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM11.49 juta.

Beliau berkata selain itu, penyelia serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) turut menerima imbuhan RM300 secara sekali bayar.

“Turut menerima RM300 ialah guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri yang keseluruhannya sebanyak 3,358 orang,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Cuti Sakit Kontrak (BCSK) sebagai langkah kebajikan tambahan untuk memastikan penjawat awam secara Lantikan Kontrak Interim (LKI) terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika menghadapi masalah kesihatan serius.

Beliau berkata melalui pelaksanaan inisiatif itu, pegawai LKI yang disahkan tidak dapat bertugas atas sebab kesihatan dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan boleh dipertimbangkan bayaran bantuan, dengan kadar bayaran bersamaan emolumen semasa pegawai.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan pegawai lantikan kontrak, di samping menzahirkan prinsip tadbir urus berteraskan kesejahteraan, empati dan keadilan sosial dalam pengurusan sumber manusia sektor awam negeri,” katanya.

Pulau Pinang menerima pakai dasar pengambilan baharu penjawat awam secara LKI selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan, berkuat kuasa 1 Jan 2025.

Chow hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.088 bilion bagi perbelanjaan mengurus dengan anggaran defisit RM19.92 juta yang merupakan terendah dalam sejarah negeri.

Perbelanjaan mengurus Belanjawan 2026 itu meningkat RM147.72 juta, iaitu 15.71 peratus berbanding Belanjawan 2025 yang berjumlah RM940.223 juta.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan