SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion untuk mengurus dan meneruskan pembangunan negeri bagi tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.86 bilion atau 57.6 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dengan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan menjadi komponen terbesar mencakupi 39.8 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala RM1.37 bilion (42.4 peratus) bagi tujuan pembangunan.
“Perkara yang dibelanjakan termasuk bagi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua, kenaikan harga kontrak selaras dengan pelaksanaan gaji RM1,700.
“Ia juga melibatkan khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang masing-masing melibatkan 26 jabatan, elaun majlis pengurusan komuniti kampung, peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu Dewan Negeri Selangor, di sini.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2026 meningkat RM70 juta atau 5.4 peratus berbanding 2025 dengan tumpuan kepada sektor sosial.
Beliau berkata kenaikan peruntukan sektor sosial sebanyak 30 peratus iaitu RM360 juta adalah merangkumi persediaan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun depan.
“Ia termasuk jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dengan menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat,” katanya.
Amirudin berkata pada tahun depan kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip sebanyak RM2.8 bilion dengan premium tanah dijangka menjadi antara penyumbang utama sebanyak RM1.02 billion bersamaan 36.3 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.
“Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM691.27 juta (24.7 peratus) manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian Persekutuan iaitu RM263.16 juta bersamaan 9.4 peratus.
“Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.8 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM3.23 bilion, maka Belanjawan 2026 mengalami defisit dianggarkan berjumlah RM430 juta,” katanya.
Bertemakan 'Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’, belanjawan itu akan digerakkan melalui enam tekad iaitu Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat; Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa; Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang; dan Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan.
-- BERNAMA
