PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan Diraja Thailand (RTG) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) komited untuk kembali menyambung proses dialog damai di Selatan Thailand.
Majlis Keselamatan Negara menerusi kenyataan memaklumkan komitmen itu dicapai pada Mesyuarat Khas yang dihadiri wakil RTG dan BRN di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu berkaitan proses dialog damai berkenaan.
Mesyuarat itu diadakan dengan dipermudah cara oleh Fasilitator Kerajaan Malaysia Datuk Mohd Rabin Basir dan berlangsung dalam suasana mesra serta konstruktif.
“Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk menyambung semula rundingan rasmi dan teknikal pada Disember ini,” menurut kenyataan itu.
MKN memaklumkan kerajaan Malaysia menyambut baik persefahaman bersama yang dicapai, termasuk keutamaan terhadap suara rakyat, perlindungan nyawa orang awam tidak bersalah, dan keperluan menangani masalah dadah di wilayah berkenaan.
“Dalam masa sama, kerajaan Malaysia menegaskan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan proses dialog damai yang akan datang berjalan dengan lancar, inklusif dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
