AM

LELAKI WARGA EMAS MAUT DALAM KEBAKARAN DI TAMBUN

14/11/2025 09:14 PM

IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres di Lorong Perpaduan Ria 6, Taman Perpaduan Ria, di Tambun hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata mayat lelaki berusia 80 tahun itu ditemukan di atas lantai dalam bilik sebuah rumah yang 80 peratus terbakar selepas operasi pemadaman selesai dilakukan.

Beliau berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dan BBP Ipoh dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Menglembu serta Bercham dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 1 tengah hari tadi.

"Kebakaran itu turut memusnahkan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal yang diparkir dalam garaj dan di hadapan rumah mangsa," katanya dalam kenyataan.

Shazlean berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata empat rumah lagi terbakar antara 15 hingga dua peratus selain sebuah Perodua Myvi terbakar kira-kira 10 peratus.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang,” katanya.

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan