EKONOMI

PECCA SASAR STATUS PEMBEKAL TAHAP-1 DENGAN KILANG PEMASANGAN BAHARU TAHUN DEPAN

20/11/2025 05:14 PM

PETALING JAYA, 20 Nov  (Bernama) -- Pengeluar upholsteri kulit automotif Pecca Group Bhd (PGB) sedang berusaha mencapai matlamatnya memiliki status pembekal Tahap-1 pada 2026, susulan pelancaran barisan pemasangan tempat duduk penuh yang dirancang awal tahun depan. 

Pengarah Eksekutif PGB Hugo Teoh Zi Yi berkata barisan pemasangan tempat duduk pertama syarikat itu dijangka memulakan pengeluaran rintisnya pada Januari 2026, dengan pemasangan jentera kini sedang dijalankan. 

“Sebaik sahaja kilang kami di Serendah siap, kami akan memindahkan operasi pengeluaran ke sana dan menambah barisan pemasangan tambahan. Semuanya berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita pada sidang media pasca mesyuarat agung tahunan syarikat itu. 

Pada Mac, dilaporkan bahawa unit PGB, Pecca Leather Sdn Bhd, memperoleh lot perindustrian kosong pegangan pajak di Serendah, Selangor dengan harga RM17.43 juta.

Hugo berkata PGB telah mula menarik bakal pelanggan merentasi sektor automotif, penerbangan dan lokomotif, termasuk beberapa jenama kereta dari China yang memasuki pasaran Malaysia.

“Baru-baru ini, kami telah berbincang dengan MG Motors dan Chery Automobile Co Ltd.

“Bagi segmen lokomotif, kami menyasarkan kepada Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan minat turut ditunjukkan dalam segmen penerbangan,” katanya. 

Beliau menambah, cita-cita syarikat untuk mencapai Tahap-1 itu tidak terhad kepada pasaran Malaysia, dengan rancangan untuk menyasarkan kedudukan Tahap-1 serantau dan global.

“Setakat ini, memandangkan kami mula menceburi kepelbagaian baharu ini, sudah pasti kami akan memulakannya dalam kalangan tempatan terlebih dahulu.

“Tetapi bagi kehadiran di pasaran antarabangsa, terutamanya dalam penerbangan, terdapat pasaran besar yang boleh kami kuasai,” katanya. 

Pengarah Eksekutif PGB Kelly Teoh Zi Yuen berkata peralihan syarikat ke arah keupayaan Tahap-1 disokong oleh pensijilan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) yang diperoleh pada 2024, sekali gus mengukuhkan kedudukannya merentasi pelbagai sektor. 

“Dengan lesen EASA, ia menunjukkan bahawa kami merupakan rakan kongsi berkualiti tinggi, dan bukan sekadar pembekal komoditi kos rendah.

“Kami sedang meletakkan diri kami untuk bergerak ke arah penyetempatan sepenuhnya,” katanya. 

Beliau berkata pensijilan itu turut mengukuhkan ketersediaan PGB untuk menyokong jenama automotif asing yang mungkin meneroka operasi pemasangan tempatan apabila cukai pengecualian kenderaan elektrik (EV) dimansuhkan secara berperingkat. 

“Mana-mana jenama asing yang ingin menjual dan membina kereta di sini untuk memenuhi keperluan kandungan tempatan boleh bekerjasama dengan kami,” katanya. 

Kelly berkata kumpulan itu telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta dalam perbelanjaan modal bagi infrastruktur dan persediaan operasi bagi menyokong cita-cita Tahap-1 syarikat tersebut. 

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, PGB berkata ia menyasarkan eksport global bagi pengilangan peralatan penggantian (REM) untuk mencapai 10 peratus daripada perolehan syarikat pada tahun-tahun akan datang, dengan memanfaatkan permintaan dari pasaran Amerika Syarikat sambil berkembang ke rantau Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik. 

“Dengan mengukuhkan keupayaan reka bentuk dan pembuatan kami, Pecca akan menjadi penyedia penyelesaian bersepadu yang dipacu inovasi bagi industri automotif, penerbangan dan lokomotif,” katanya. 

Oleh itu, PGB berkata ia mengekalkan tinjauan positif bagi tahun kewangan 2026, disokong oleh pelancaran baharu yang berpatutan daripada pelanggan utama dan peningkatan sumbangan yang ketara daripada segmen margin tinggi baharunya, termasuk eksport penerbangan, lokomotif dan REM. 

--BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan