AM

SGR KUKUHKAN AGENDA PERALIHAN TENAGA SARAWAK - JULAIHI

01/12/2025 07:57 PM

KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Sarawak terus memperkukuh agenda peralihan tenaganya dengan melaksanakan pelbagai projek strategik di bawah Sarawak Gas Roadmap (SGR) bagi meningkatkan penggunaan gas asli di negeri itu, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi hari ini.

Beliau berkata pelan SGR itu giat dilaksanakan oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menerusi pembangunan infrastruktur gas di empat hab utama iaitu Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching menerusi beberapa inisiatif yang sedang giat dijalankan.

“Antara projek utama ialah loji 500 MW Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) di Miri, yang kini mencapai 30 peratus kemajuan dan dijangka beroperasi secara komersial pada suku keempat 2027.

”Selain itu, projek Kidurong-Samalaju Gas Pipeline sepanjang 65 kilometer yang akan membekalkan 300 juta kaki padu standard gas sehari (MMscfd) siap 91 peratus dan dijangka beroperasi suku kedua 2026,"  kata Julaihi semasa menggulung perbahasan untuk kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Projek perintis Gas to Bintulu (GtB), katanya mula beroperasi Julai lepas dengan membekalkan gas asli berpaip kepada 40 isi rumah berpendapatan rendah di Sungai Plan sebagai langkah membawa sumber gas tempatan terus kepada komuniti.

”Inisiatif Gas Direct to Kitchen di Quadruplex Taman Ceria, Miri turut diteruskan dengan 589 kediaman telah disambungkan kepada gas berpaip, manakala baki sambungan akan dibuat secara berperingkat hingga projek itu siap sepenuhnya pada suku keempat 2027,” katanya.

Julaihi berkata Sarawak juga sedang membangunkan Virtual Pipeline System (VPS) yang bakal membekalkan gas asli cecair (LNG) dari Bintulu ke Kuching, yang dijangka beroperasi pada suku pertama 2026 dan akan memperluas akses gas ke kawasan luar grid serta menyokong industri tempatan.

“Bagi projek Kuching Low-Carbon Hub (KLCH), ia merangkumi pembangunan terminal regasifikasi, taman petrokimia rendah karbon, infrastruktur gas serta pembinaan loji CCGT berkapasiti 5,000 MW di Kuching,” katanya.

Beliau berkata kesemua inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada pelan komprehensif SGR untuk meningkatkan penggunaan gas domestik daripada tujuh peratus kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030, seiring aspirasi Sarawak ke arah ekonomi rendah karbon dan masa depan tenaga yang lebih mampan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan