PASIR MAS, 2 Dis (Bernama) -- Demi memastikan anaknya dapat hadir ke sekolah dan persiapan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak terganggu, sebuah keluarga di Kampung Siram di sini memilih untuk terus berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak tiga hari lepas biarpun keadaan banjir menunjukkan tanda semakin surut.
Nor Izani Mohd Daud, 53, berkata banjir “termenung” yang masih bertakung sedalam kira-kira 0.6 meter membuatkan laluan masuk ke rumah mereka hanya boleh dilalui dengan meredah air paras pinggang sekali gus menyukarkan pergerakan anaknya yang perlu menghadiri kelas tambahan wajib setiap hari.
Peniaga kuih itu berkata anak keempatnya, Nurul Izati, 19, bakal menduduki STPM tidak lama lagi dan memerlukan persediaan rapi termasuk mengikuti sesi ulang kaji yang diadakan pihak sekolah.
“Kalau balik rumah, dia terpaksa harung air separas pinggang dan baju sekolah boleh basah. Jadi lebih baik kami kekal tinggal di PPS untuk sementara waktu supaya dia tidak ketinggalan kelas,” katanya kepada Bernama di PPS Kedai Tanjong di sini yang menempatkan lebih 400 mangsa banjir, hari ini.
Nor Izani berkata kediamannya tidak dinaiki air tahun ini berbanding banjir besar tahun lepas yang mencecah 1.2 meter, namun kawasan sekeliling rumah masih terkepung air sejak 28 Nov lepas hingga menyukarkan perjalanan anaknya ke sekolah.
“Air termenung ini lambat sangat surut, cuma kira-kira lima inci sehari. Semalam kami balik sebentar tengok rumah, memang sudah boleh duduk tetapi susah untuk anak ke sekolah,” katanya.
Nor Izani berkata guru turut membenarkan pelajar mangsa banjir memakai pakaian sukan ke sekolah kerana ramai masih berada di PPS dan tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk mengurus pakaian harian.
Sementara itu isterinya, Sarina Zakaria, 48, yang bertugas sebagai guru Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), berkata banjir termenung di kawasan mereka dipercayai berpunca daripada limpahan air Sungai Golok yang menjejaskan beberapa lokasi sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas.
“Fokus utama kami ketika ini ialah memastikan anak dapat mengikuti sesi pembelajaran yang penting sebelum peperiksaan bermula,” katanya.
-- BERNAMA
