AM

BANJIR DI TUJUH NEGERI SEMAKIN PULIH, JUMLAH MANGSA MAKIN BERKURANGAN PAGI INI

02/12/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di tujuh negeri di Semenanjung menunjukkan perkembangan positif dengan penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS mencatatkan sedikit penurunan dengan 1,835 membabitkan 523 keluarga pagi ini berbanding 1,918 orang daripada 543 keluarga malam tadi.

Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 27 PPS masih beroperasi di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Banjir di TERENGGANU hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah mangsa menurun kepada 37 orang daripada 22 keluarga, berbanding 287 orang daripada 102 keluarga 8 malam tadi dengan masing-masing masih ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu dan SK Paya Resak, Marang.

Di KELANTAN turut mencatatkan situasi sama dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 178 orang daripada 69 keluarga pagi ini berbanding 203 orang daripada 82 keluarga malam tadi, dengan kesemua mereka berlindung di dua PPS di Pasir Mas.

Di PERAK, situasi banjir terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa banjir di lima daerah semakin berkurangan kepada 3,610 orang daripada 1,061 keluarga di 21 PPS berbanding 3,684 orang daripada 1,090 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Hilir Perak masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,716 orang manakala daerah Bagan Datuk pula merekodkan 899 mangsa, Manjung (506), Perak Tengah (464) serta Larut, Matang dan Selama (25).

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan cuaca di 12 daerah di Perak berada dalam keadaan baik pada sebelah pagi sehingga malam.

Sementara itu di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 169 orang daripada 52 keluarga  berbanding 219 orang daripada 64 keluarga malam tadi.

Menurut JPBN Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu itu masih berlindung di dua PPS di SK Padang Pekan dan SK Tunjang.

Walaupun keadaan cuaca cerah dan tidak hujan sejak beberapa hari lepas, mangsa-mangsa ini masih belum pulang kerana keadaan rumah mereka yang kurang selamat selain kesan banjir yang masih belum habis dicuci.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir awal pagi ini menurun sedikit kepada 198 orang daripada 51 keluarga berbanding 200 mangsa daripada 52 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Pahang, sebanyak 126 mangsa masih berlindung di empat PPS di Bera, 40 mangsa di empat PPS di Temerloh manakala 25 mangsa di Maran dan tujuh di Kuantan masing-masing ditempatkan di sebuah PPS di daerah terbabit. 

Sementara itu, Polis Daerah Pekan menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan SK Temai ditutup hari ini atas faktor keselamatan murid berikutan kawasan pekarangan sekolah dinaiki air susulan limpahan air Sungai Pahang. 

Menerusi laman web PublicInfoBanjir pula, tiga stesen sungai di Pahang mencatatkan paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan, Lubuk Paku, Maran dan Sungai Triang di Jambatan Keretapi, Bera. 

Di PERLIS, angka mangsa banjir menurun kepada 1,351 orang dengan enam PPS masih beroperasi melibatkan kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau, berbanding 1,503 mangsa yang ditempatkan di lapan PPS malam tadi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan