AM

HAD TEMPOH KELULUSAN CUKAI KEPADA IOT DITETAPKAN MAKSIMUM 10 TAHUN

02/12/2025 11:05 AM

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Tempoh kelulusan bagi layanan cukai kepada Institusi, Organisasi dan Tabung (IOT) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 ditetapkan maksimum 10 tahun, berkuat kuasa pada 27 Nov 2025, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu meliputi kelulusan untuk manfaat cukai yang berkaitan dengan IOT.

Menurut LHDN, antara manfaat berkenaan ialah tolakan cukai terhadap derma atau sumbangan yang diberikan kepada IOT terhad kepada 10 peratus daripada pendapatan agregat individu atau syarikat dan pengecualian bagi semua pendapatan yang diterima oleh IOT sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.

“Bagi mana-mana IOT yang akan tamat tempoh kelulusan pada 31 Dis ini sepertimana yang telah dimaklumkan oleh LHDN, surat pemakluman yang baharu akan dikeluarkan kepada IOT yang berkenaan bagi menjelaskan pemakaian tempoh kelulusan 10 tahun ini.

“Mana-mana IOT yang telah diberi kelulusan baharu atau lanjutan oleh LHDN sebelum 27 Nov 2025, tempoh yang dinyatakan dalam kelulusan tersebut adalah kekal dan tempoh baharu 10 tahun akan hanya dipertimbangkan selepas tempoh kelulusan itu berakhir,” menurut kenyataan itu.

LHDN turut memaklumkan pihaknya akan menjalankan semakan pematuhan syarat kelulusan secara menyeluruh dari semasa ke semasa mengikut keperluan akta yang akan mengambil kira tempoh penyimpanan dokumen serta had masa yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Untuk tujuan itu, LHDN memaklumkan IOT hendaklah sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap semua syarat kelulusan, sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan yang berkuat kuasa. 

Bagaimanapun, sekiranya terdapat pelanggaran syarat-syarat kelulusan, kelulusan IOT di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh ditarik balik dan pendapatan IOT terbabit boleh dikenakan cukai sepertimana ditetapkan di bawah subperenggan 13(1)(a) Jadual 6 ACP 1967.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan