Oleh NurulJannah Kamaruddin & Nur Aiman Najwa Dzamae
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pemberian insentif di bawah Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) akan dinilai berdasarkan keberhasilan pelaburan, bukan lagi jumlah pelaburan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau yang akan menamatkan tugas sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata berbanding sebelum ini, apabila insentif dikaitkan secara langsung dengan jumlah pelaburan, NIIF memberi tumpuan kepada impak yang dibawa oleh pelaburan tersebut.
“Setiap sektor mungkin menunjukkan hasil yang berbeza. Ia bukan lagi tentang berapa banyak anda melabur, tetapi apa yang berjaya dicapai menerusi pelaburan itu.
“Sebagai contoh, dalam aspek rantaian bekalan dan keperluan tenaga kerja, adakah anda bekerjasama dengan universiti, dan berapa banyak yang dibelanjakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), bersandarkan kepada itulah tahap insentif akan ditentukan,” kata beliau dalam temu bual bersama Bernama pada Isnin.
Tengku Zafrul berkata NIIF turut memperkenalkan kawal selia yang lebih ketat, khususnya berkaitan tenaga kerja asing dan usaha meningkatkan kemahiran pekerja tempatan.
Langkah itu, kata beliau, diperlukan kerana syarikat sering memilih tenaga kerja murah dan kurang komited terhadap latihan pembangunan tenaga kerja.
“Disebabkan itu, kita memperkenalkan NIIF yang akan menetapkan kriteria bagi pemberian insentif apabila syarikat melabur dalam teknologi baharu.
“Kita mahu melihat berapa ramai pekerja tempatan yang diambil, tahap pemindahan teknologi, dan faedah limpahan lain kepada ekonomi. Itu yang penting,” katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama NIIF akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memperkukuh peranan serta keupayaan mereka dalam rantaian bekalan.
“Saya baru pulang dari MBSB Bank dan kami berbincang mengenai teknologi pintar. Penerimaan teknologi bergantung pada sokongan kewangan bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi juga bank pembangunan dan bank perdagangan,” kata Tengku Zafrul.
NIIF akan dilaksanakan sepenuhnya bagi sektor pembuatan pada suku pertama 2026, diikuti sektor perkhidmatan pada suku kedua 2026.
-- BERNAMA
