KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memaklumkan bahawa perkhidmatan tren MySawasdee dibatalkan susulan keperluan pemeriksaan keselamatan pascabanjir serta kerja pembersihan dan baik pulih landasan di beberapa kawasan yang masih belum stabil.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan membabitkan tren No 1004 dari KL Sentral ke Hat Yai dan tren No 1005 dari Hat Yai ke KL Sentral bagi tempoh 5 hingga 8 Dis serta 12 hingga 15 Dis.
Pada masa sama, kenyataan itu menyatakan pihak berkuasa Thailand turut menjalankan pemeriksaan infrastruktur rel dan penilaian teknikal untuk menentukan tahap keselamatan laluan sebelum operasi rel dapat dijalankan.
“Daripada 837 penumpang terjejas, seramai 683 penumpang masih belum membuat pembatalan tiket manakala 196 penumpang yang membuat pembatalan awal layak menerima baki pemulangan tambang," menurut kenyataan itu.
Bagi pembelian tiket dalam talian, penumpang boleh membuat pembatalan melalui aplikasi KITS dengan memilih MyTicket → Upcoming Ticket → Refund dan akan menerima pemulangan tambang penuh secara serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan pembelian tiket pada masa hadapan.
Jadual dan tarikh perjalanan perkhidmatan MySawasdee yang seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan dan situasi di Hat Yai.
KTMB turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan meminta penumpang menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 untuk sebarang maklumat lanjut.
-- BERNAMA
