KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Hutang negara diselesaikan secara berperingkat dan mengikut tempoh yang dtetapkan untuk memastikan pembangunan negara tidak terjejas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan untuk menurunkan jumlah hutang baharu secara berperingkat selepas mengambil kira aspek pembangunan negara.
“Kita boleh menurunkan (hutang) dengan kadar segera tetapi bebannya adalah kepada rakyat. Itu (penurunan hutang) satu keputusan yang perlu diambil.
“Oleh sebab itu, hutang baharu daripada RM100 bilion, kita turunkan kepada RM70-RM75 bilion,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (Bangi-PH) mengenai paras hutang kerajaan yang dikatakan telah melepasi had hutang statutori kerajaan, iaitu 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta hutang luar negara yang dikatakan berada pada tahap membahayakan.
Terdahulu, Anwar berkata pinjaman baharu kerajaan berkurangan kepada kira-kira RM100 bilion (2021), RM99 bilion (2022), RM92 bilion (2023) dan RM77 bilion (2024).
Beliau menegaskan penurunan kadar hutang negara mencerminkan keupayaan kerajaan untuk meneruskan projek asas yang wajib dilaksanakan seperti tebatan banjir, prasarana asas, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.
“Saya tidak fikir perkara ini harus mengelirukan kerana apabila ada unjuran defisit kita berkurangan, ini bermakna tanggungan hutang itu juga akan berkurangan,” kata beliau.
Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan membayar hutang tersebut mengikut kewajipan pada masa yang ditetapkan.
“Kalau keadaan ini dapat diteruskan secara konsisten oleh kerajaan, hutang kita akan menurun mulai akhir 2028-2029 berdasarkan unjuran kita. Oleh itu, langkah-langkah penurunan defisit mesti disegerakan,” kata beliau.
-- BERNAMA
