KUCHING, 2 Dis (Bernama) -- Sarawak berusaha memanfaatkan pasaran pelancongan pelayaran atau kapal persiaran yang pesat berkembang, berikutan pemulihan kukuh yang dicatatkan di Asia Tenggara, selain jumlah penumpang yang semakin meningkat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini berkata kementeriannya sedang berbincang dengan pengendali kapal persiaran yang berpangkalan di Singapura untuk memasukkan Kuching dan Miri sebagai pelabuhan persinggahan pada masa hadapan.
“Sarawak mempunyai potensi untuk berjaya dalam industri pelayaran, tetapi kami perlu menambah baik kemudahan pelabuhan dan perkhidmatan logistik bagi memastikan pemindahan penumpang yang lancar,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN di sini.
Katanya, industri pelayaran global terus menunjukkan daya tahan dan menurut Persatuan Antarabangsa Kapal-Kapal Persiaran (CLIA), rantau ini merekodkan lebih daripada 300 persinggahan kapal dan lebih dua juta penumpang pada 2023.
Beliau menambah jumlah penumpang di Asia Tenggara dijangka terus meningkat, iaitu mencecah 3.19 juta penumpang menjelang 2029, sekali gus menawarkan peluang yang besar kepada Sarawak untuk meningkatkan penglibatannya dalam sektor tersebut.
-- BERNAMA
