SUKAN

MASALAH KESIHATAN TIDAK LUNTUR SEMANGAT LING CHING HADAPI SUKAN SEA

02/12/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching kini bergelut dengan masalah kesihatan tatkala sedang mempersiapkan diri menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand.

Ling Ching bagaimanapun berkata beliau enggan menjadikan masalah itu sebagai penghalang untuk terus memberi fokus penuh dalam latihan bagi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik pada temasya dwitahunan itu.

“Saya ada demam sikit ketika ini tetapi masih teruskan latihan tetapi jurulatih ada buat sedikit penyesuaian untuk latihan saya.

“Apapun, saya harap cepat sihat sebelum berlepas ke Bangkok pada Jumaat ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Ling Ching dalam pada itu berkata beliau tekad untuk memastikan episod hitam pasukan badminton wanita pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tidak berulang.

Justeru, beliau akan cuba melakukan aksi terbaik untuk memberikan mata sekiranya diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

Pada edisi di Kemboja sebelum ini, skuad wanita negara gagal meraih sebarang pingat dalam acara berpasukan wanita selepas tewas pada pusingan separuh akhir kepada Filipina.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan