AM

PELANCARAN GARIS PANDUAN KUDA KEPANG PERKUKUH KAWAL SELIA SENI WARISAN DI JOHOR

02/12/2025 04:41 PM

BATU PAHAT, 2 Dis (Bernama) -- Pelancaran Garis Panduan Persembahan Kuda Kepang Johor semalam adalah langkah memperkukuh kawal selia terhadap seni warisan itu agar bebas daripada sebarang unsur khurafat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata garis panduan baharu hasil kajian Jabatan Mufti Johor bersama IInstitut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu membolehkan permainan kuda kepang diteruskan berlandaskan syariat. 

Mohd Fared berkata sebarang amalan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti menyeru makhluk halus, penyediaan sajen serta ritual yang boleh membawa kepada kerasukan, mabuk atau khayal adalah dilarang sama sekali.

“Masyarakat beragama Islam, terutamanya diminta untuk tidak terlibat dengan permainan kuda kepang yang mempunyai unsur khurafat, sama ada dalam bentuk penganjuran, pengamalan, tontonan, sokongan atau penyebaran melalui media cetak mahupun media elektronik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Program Manfaat Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Peserai di sini.

Pada 9 Sept lepas, Bernama melaporkan fatwa mengenai persembahan kuda kepang di Johor sebenarnya telah digariskan sejak 2009 namun sehingga kini belum diwartakan kerana kerajaan negeri memilih pendekatan mendidik berbanding menghukum.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dilaporkan berkata fatwa itu ditambah baik pada 2013 dan diperkukuh pada 2019 namun proses pewartaan mengambil masa kerana memerlukan kefahaman masyarakat yang jelas mengenai perbezaan antara seni budaya yang boleh dipelihara dengan amalan yang bercanggah syariat Islam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan