JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA POLIS DIDAKWA SAMUN DUA KEDAI RUNCIT

02/12/2025 04:26 PM

KOTA BHARU, 2 Dis (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan samun di dua kedai runcit di Pengkalan Chepa pada awal bulan lepas.

Mohd Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 44, didakwa menyamun seorang pembantu kedai runcit warga Pakistan dengan mengambil wang tunai RM400 di sebuah kedai runcit di Kampung Beris Jambu, Pengkalan Chepa, pada 6.20 petang 8 Nov lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh melakukan samun terhadap pembantu kedai runcit warga tempatan berketurunan Pakistan di sebuah kedai runcit di Kampung Chempaka, Pengkalan Chepa pada 4.40 petang 10 Nov lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu adalah serius.

Peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri merayu agar jaminan sesuai dikenakan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri, mempunyai masalah darah tinggi, selain isterinya menghidap kanser ovari tahap tiga serta asma dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Hakim Zulkifli Abllah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin.

Beliau turut megenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung serta melapor diri ke balai polis setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport, sekiranya ada.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Jan depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan