POLITIK

STAR SABAH TOLAK KERJASAMA GRS, KEKAL PEMBANGKANG - JEFFREY

02/12/2025 05:26 PM

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) -- Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan parti itu tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebaliknya memilih kekal sebagai pembangkang. 

Jeffrey yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, berkata pendirian STAR itu konsisten dan tidak berubah dengan pendirian parti, iaitu Sabah mesti ditadbir parti tempatan Sabah.

"Kami akan menyokong dasar-dasar melindungi Sabah dan kami akan menentang sebarang langkah yang menjejaskan Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan atau perjuangan panjang untuk Sabah demi rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan, hari ini 

PRN Sabah ke-17 menyaksikan GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN dipertandingkan, Parti Warisan (25), Barisan Nasional (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), STAR (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan masing-masing satu kerusi.

Pada awal pagi Ahad lepas, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-17, manakala sembilan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Tun Musa di Istana Seri Kinabalu.

Komposisi anggota Kabinet Sabah yang mengangkat sumpah semalam, terdiri lapan daripada GRS, iaitu Hajiji, Joachim, Masidi, Mohd Arifin, James, Nizam, Rubin dan Julita, sementara itu, Ewon mewakili UPKO, Jafry daripada BN dan Jamawi daripada PH.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan