AM

BANJIR: SEMUA PPS DI KELANTAN DAN KEDAH DITUTUP, NEGERI LAIN BERANSUR PULIH

02/12/2025 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda Kelantan dan Kedah sejak minggu lepas pulih sepenuhnya dengan semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup petang ini, manakala situasi di lima negeri lain juga bertambah baik.

Di KELANTAN, banjir gelombang pertama di negeri itu pulih sepenuhnya dengan dua PPS di Pasir Mas, iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh dan PPS SK Kedai Tanjong yang menempatkan 67 mangsa daripada 21 keluarga ditutup 3.30 petang tadi.

Pemangku Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata semua mangsa telah dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.

“Sekiranya berlaku gelombang banjir yang seterusnya, penduduk diingatkan supaya segera berpindah ke PPS yang berdekatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata penduduk diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan situasi banjir dan menutup suis elektrik di rumah ketika meninggalkan premis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Di KEDAH, banjir pulih sepenuhnya selepas dua PPS di daerah Kubang Pasu ditutup 2 petang tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, PPS SK Padang Pekan dan PPS SK Tunjang yang dibuka pada 25 dan 26 Nov lepas ditutup setelah kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Di SELANGOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS terus mencatatkan penurunan kepada 1,464 orang daripada 413 keluarga petang ini berbanding 1,835 orang membabitkan 523 keluarga pagi tadi.

Menurut laman sesawang Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang masih beroperasi turut berkurangan kepada 21 berbanding 27 pagi tadi di empat daerah, iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Di TERENGGANU, banjir hampir pulih apabila hanya 31 mangsa daripada 20 keluarga masih berada di PPS setakat 4 petang ini, berbanding 37 orang daripada 22 keluarga 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Terengganu, kesemua mangsa berada di PPS SK Atas Tol yang dibuka sejak Jumaat lepas.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed berkata empat sekolah di Kuala Terengganu masih ditutup susulan banjir, iaitu SK Atas Tol, SK Kepong, SK Kampung Bukit Chendering dan SK Paya Resak.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir semakin berkurang petang ini kepada 3,402 orang daripada 1,008 keluarga di 19 PPS berbanding 3,610 orang daripada 1,061 keluarga di lima daerah pagi tadi.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan daerah Hilir Perak masih kekal 1,716 orang manakala Bagan Datuk pula merekodkan 873 mangsa, Manjung (498), Perak Tengah (300) serta Larut, Matang dan Selama (15).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir petang ini menurun kepada 149 orang daripada 39 keluarga berbanding 198 orang daripada 51 keluarga pagi tadi.

Menurut Infobanjir JKM, Bera daerah paling tinggi yang menempatkan mangsa banjir sebanyak 107 orang di empat PPS, diikuti Maran (25), Temerloh (10) dan Kuantan (tujuh).

Laman sesawang Public Infobanjir pula merekodkan dua sungai utama melepasi bacaan paras bahaya, iaitu Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan dan di Lubuk Paku, Maran.

Di PERLIS, situasi banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir menurun mendadak daripada 1,351 orang di enam PPS pada sebelah pagi tadi kepada 696 mangsa setakat 4 petang tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, dua lagi PPS ditutup sekali gus menjadikan empat PPS masih beroperasi di Padang Besar, Kangar dan Arau bagi menempatkan semua mangsa banjir itu.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan