KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bank di Malaysia akan menawarkan 'goodwill discounts' kepada mereka yang melakukan penyelesaian awal untuk perjanjian sewa beli kadar tetap sedia ada berikutan lulusnya Rang Undang-Undang (Pindaan) Sewa Beli oleh Dewan Negara semalam.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) berkata inisiatif bersama itu bertujuan menyokong pelanggan yang terjejas menjelang pelaksanaan Akta (Pindaan) Sewa Beli (HPAA).
Persatuan itu berkata 'goodwill discounts' berkenaan akan terpakai ketika melakukan penyelesaian awal untuk kontrak sewa beli kadar tetap sedia ada, termasuk yang dikira menggunakan kaedah Peraturan 78.
“Di bawah HPAA, kadar rata dan kaedah Peraturan 78 akan dimansuhkan untuk pelanggan baharu, menandakan satu perubahan besar dalam kaedah pengiraan bagi pembiayaan sewa beli.
“Bagi memastikan keadilan kepada pelanggan yang telah menandatangani perjanjian sebelum HPAA atau dalam tempoh penangguhan yang dibenarkan, industri perbankan akan menawarkan 'goodwill discounts' bagi penyelesaian awal perjanjian sewa beli kadar tetap ini,” katanya.
Persatuan perbankan itu berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen industri untuk memastikan pelanggan berasa diberi sokongan dan dihargai sepanjang tempoh peralihan itu.
“Goodwill discounts ini merupakan tindakan menyeluruh industri yang bertujuan menawarkan kepada pelanggan yang terjejas dengan layanan yang secara umumnya setara dengan apa yang akan dinikmati oleh pelanggan baharu di bawah kerangka yang telah disemak semula itu," katanya.
Program 'goodwill discounts' itu akan bermula dari tarikh kuat kuasa HPAA, yang dijangka pada suku pertama 2026.
“Industri perbankan akan memaklumkan kepada orang ramai sebaik sahaja HPAA berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Persatuan itu juga memuji Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Bank Negara Malaysia (BNM) atas usaha mereka memacu pembaharuan yang bertujuan meningkatkan keadilan dan ketelusan dalam pembiayaan sewa beli.
“Kepimpinan dan pendekatan kolaboratif mereka telah membuka jalan bagi kerangka yang lebih saksama yang memberi manfaat kepada pengguna dan mengukuhkan kepercayaan terhadap sistem kewangan,” kata mereka.
Mereka berkata pelanggan yang terus membuat pembayaran mengikut jadual yang dipersetujui sehingga tamat tempoh tidak akan terjejas oleh kaedah Peraturan 78.
“Sehubungan itu, pelanggan boleh terus membayar ansuran yang sama seperti yang dipersetujui pada asalnya dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan.
“Sebaik sahaja HPAA berkuat kuasa, pelanggan digalakkan untuk melayari laman web rasmi bank atau cawangan untuk mendapatkan maklumat lanjut, menghubungi bank masing-masing untuk panduan mengenai kelayakan dan prosedur permohonan 'goodwill discounts' dan mengikuti pengumuman daripada persatuan industri,” tambah persatuan berkenaan.
-- BERNAMA
