PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- FELCRA Bhd (FELCRA) mencatat kejayaan penting apabila menerima dividen sebanyak RM28.1 juta daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pencapaian itu mencerminkan prestasi kewangan kumpulan yang kukuh serta keberkesanan pelaksanaan strategi pengurusan yang digerakkan di semua peringkat.
“Ia turut menggambarkan kedudukan kewangan FELCRA yang semakin mantap dalam usaha memperkasakan agenda pembangunan luar bandar, memacu pertumbuhan ekonomi peserta dan memastikan nilai mampan terus diwujudkan kepada semua pemegang taruh.
“Saya turut menzahirkan keyakinan terhadap Kumpulan FELCRA Bhd, khususnya anak syarikatnya supaya terus membina kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas Majlis Penyampaian Dividen Subsidiari dan Syarikat Bersekutu FELCRA Bhd yang berlangsung pagi tadi.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan replika cek keuntungan yang dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Bhd Datuk Idris Lasim kepada Pengerusi FELCRA Bhd Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob, sebagai simbolik kejayaan keseluruhan kumpulan.
Turut berlangsung penyampaian replika cek daripada 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu FELCRA, yang menandakan prestasi positif dan sumbangan kukuh semua entiti itu terhadap kekuatan kewangan secara keseluruhan.
Ahmad Zahid berkata beliau telah meminta FELCRA untuk mengemukakan Pelan Strategik Perniagaan 2026-2036 pada suku pertama 2026 bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan jangka panjang, pengukuhan daya saing serta memangkin hala tuju korporat untuk dekad mendatang.
Beliau yang optimis dengan semangat kerja berpasukan yang padu dan hala tuju strategik yang jelas, berkata syarikat korporat yang diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan itu akan terus menjadi kebanggaan masyarakat desa.
“FELCRA akan menjadi sebuah institusi yang bukan sahaja melaksanakan amanah sosial dengan penuh integriti, tetapi turut menjadi penggerak kemakmuran korporat yang berdaya saing dan berimpak tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
