AM

AGC ARAH KES KEMATIAN KADET PALAPES DIKLASIFIKASI MENGIKUT SEKSYEN 302 KANUN KESEKSAAN

02/12/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian ahli kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil laporan siasatan yang dibuka PDRM berhubung kematian Syamsul Haris.

"Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil Laporan Siasatan tersebut, jabatan telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM," menurut kenyataan itu.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.

Jenazah Syamsul Haris dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman  Datuk M Kumar berkata siasatan kes kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu diteruskan untuk mengenal pasti individu terlibat atau bertanggungjawab terhadap kematian tersebut.

Beliau berkata kertas siasatan akan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan sebelum ini disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Kes diambil alih sepenuhnya Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman pada 27 Ogos lepas, susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga Allahyarham bagi proses penggalian semula kubur dan bedah siasat kali kedua.

Allhayarham sebelum itu telah dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih.

Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan