KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melihat Pekan Nanas, Johor, sebagai lokasi strategik dalam lingkungan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), selain berpotensi tinggi menjadi kawasan sokongan pembangunan zon berkenaan.
Dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen, MITI berkata Pekan Nanas tidak lagi tertumpu kepada sektor pertanian semata-mata, malah berpotensi menarik penyertaan sektor pembuatan serta perkhidmatan yang selari dengan tumpuan di bawah JS-SEZ.
Selain itu, Pekan Nanas juga dikenal pasti mempunyai beberapa kelebihan sebagai destinasi pelaburan, termasuk ketersediaan tanah industri di kawasan sedia ada seperti Taman Perindustrian Pekan Nanas I, Taman Perindustrian Pekan Nanas II dan Taman Perindustrian Tropicana yang sesuai bagi pembangunan industri kecil dan sederhana, logistik serta aktiviti sokongan berasaskan teknologi dan perkhidmatan.
“Akses rangkaian infrastruktur dan prasarana termasuk Lebuhraya Link Kedua serta laluan penghubung ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Iskandar Puteri yang memberi nilai tambah dari segi logistik dan hubungan rentas sempadan, turut menyumbang kepada tarikan pelabur ke Pekan Nanas,” katanya.
Kenyataan MITI itu sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai-BN) mengenai langkah kerajaan memastikan Pekan Nanas mendapat limpahan pelaburan secara langsung daripada pelaksanaan JS-SEZ.
Menjelaskan selanjutnya, kementerian berkata kos tanah dan operasi yang lebih kompetitif berbanding kawasan utama seperti Iskandar Puteri dan Johor Bahru, juga menjadikan Pekan Nanas sebagai alternatif menarik untuk pelabur mencari lokasi pengembangan operasi pada skala lebih cekap kos.
Dalam pada itu, MITI berkata bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan tujuh projek perkilangan di kawasan Pekan Nanas dengan jumlah pelaburan melebihi RM130 juta.
Projek itu merangkumi pengeluaran produk elektrikal dan elektronik, fabrikasi logam, produk bukan logam, produk isi rumah serta komponen pembersih hampagas seperti penapis dan beg habuk berasaskan kertas.
Bagi sektor perkhidmatan pula, MIDA meluluskan dua projek industri teknologi hijau melibatkan penjanaan tenaga boleh baharu menggunakan tenaga solar untuk kegunaan sendiri.
“MITI melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti promosi perdagangan dan pembangunan pengeksport di negeri Johor,” katanya.
Pada masa ini, sebanyak 1,329 pengeksport di Johor yang berdaftar dengan MATRADE, telah menerima bantuan dan sokongan melalui pelbagai aktiviti promosi perdagangan dan pembangunan pengeksport.
-- BERNAMA
