JENAYAH & MAHKAMAH

AMC 30 BRIGED LAKSANA BANTUAN WUJUDKAN "FRESH WATER POINT" DI KAMPUNG WANG KELIAN

02/12/2025 10:43 PM

KANGAR, 2 Dis (Bernama) -- Appointed Military Commander (AMC) 30 Briged melaksanakan inisiatif bantuan kemanusiaan dengan mewujudkan dua Titik Bekalan Air Sungai (Fresh Water Point) di Kampung Wang Kelian dekat Padang Besar.

Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia dalam hantaran Facebook malam ini memaklumkan bantuan bertujuan meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas akibat banjir melanda Perlis baru-baru ini.

"Berbeza dengan bekalan air bersih daripada Syarikat Air Perlis (SAP) di PPS (pusat pemindahan sementara) Masjid Al-Husna Wang Kelian, Fresh Water Point ini memenuhi keperluan kebersihan penduduk setempat bagi kegunaan mandi dan bersuci. 

"Setiap tong air bagi mengisi Fresh Water Point dapat menampung sebanyak 2,000 liter," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan adalah antara langkah berterusan AMC Briged Ke-30 Infantri Malaysia bersama pasukan di bawah naungan dalam memberikan sokongan kepada masyarakat tempatan yang terjejas khususnya dalam fasa pascabanjir.

Perlis mula dilanda banjir pada 23 Nov lepas, dan setakat 8 malam ini mangsa banjir di negeri itu terus berkurangan kepada 551 orang berbanding 696 mangsa petang tadi.

Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, mangsa masih ditempatkan di empat PPS bagi kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan