KOTA BHARU, 2 Dis (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas 90,000 batang rokok seludup bernilai RM262,000 dalam dua operasi berasingan menerusi OPS Taring yang dijalankan semalam dan hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata dalam operasi di Kampung Padang Jelapang Lati, Pasir Mas pada 12.30 tengah malam tadi, pihaknya menemukan sebuah kenderaan yang ditinggalkan dengan 50,000 batang rokok tidak bercukai bernilai RM140,000.
Beliau berkata pemandu kenderaan berkenaan telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis, sebelum pemeriksaan menemukan beberapa kotak rokok dipercayai untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata rampasan itu termasuk sebuah kenderaan, dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Ahmad Radzi berkata 40,000 batang rokok lagi bernilai RM122,000 dirampas berhampiran Stesen Minyak Caltex Padang Enggang, Kota Bharu pada 11 malam semalam.
“Rampasan itu turut melibatkan sebuah kenderaan dan diserahkan kepada IPD Kota Bharu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
