AM

KEJAYAAN KONTINJEN MALAYSIA DI WORLDSKILLS ASIA 2025 BUKTI KEHEBATAN TVET NEGARA - AHMAD ZAHID

03/12/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pencapaian Malaysia meraih tempat ketiga di WorldSkills Asia (WSA) Taipei 2025 membuktikan anak muda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara memiliki kemahiran bertaraf dunia serta mampu bersaing dengan negara terbaik di Asia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan itu menjadi satu lagi detik manis buat Malaysia dan mengangkat martabat TVET sebagai pemacu kemahiran negara ke tahap lebih tinggi di peringkat serantau.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh kontinjen negara yang berjaya mengangkat Malaysia ke tempat ketiga dalam WorldSkills Asia Taipei 2025.

"Alhamdulillah, satu lagi pencapaian yang manis dan membanggakan buat Malaysia sekali gus membuktikan bahawa anak-anak muda TVET kita memiliki kemahiran bertaraf dunia dan mampu berdiri setanding dengan negara-negara terbaik di Asia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata kemenangan berkenaan membuka lembaran baharu dalam pembangunan kemahiran negara dan menunjukkan potensi besar TVET sebagai sektor strategik masa depan.

"Malaysia boleh! Anda telah membanggakan Malaysia," katanya yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Kontinjen Malaysia menamatkan cabaran di WSA Taipei 2025 pada Ahad dengan meraih 17 pingat keseluruhan, termasuk lima emas, lima perak, empat gangsa dan tiga Medallion for Excellence.

Sebanyak 25 peserta TVET negara bertanding dalam acara yang berlangsung dari 27 hingga 30 Nov lepas, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia dalam bidang kemahiran.

Edisi Taipei tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta dari lebih 35 negara dan wilayah Asia, menjadikannya antara pertandingan kemahiran terbesar di rantau ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan