PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku menerima sambutan luar biasa hingga mencecah 304,000 kehadiran pengunjung dalam tempoh dua hari, sekali gus mengatasi sasaran awal 300,000 orang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata keadaan cuaca yang baik pada hari terakhir program tiga hari itu, turut menggalakkan lebih ramai hadir sejak awal pagi untuk mengikuti pelbagai pengisian disediakan.
“Alhamdulillah, nampak cuaca baik. Memang pada mulanya kita agak risau... kalau kita buat acara di luar (terbuka) dalam musim monsun, itu akan menjejaskan sikit kehadiran. Tapi setakat ini, sekurang-kurangnya untuk hari terakhir, hari ketiga ni, nampak agak baik cuacanya.
“Saya nampak ramai yang telah hadir dan macam-macam acara (telah dibuat) seawal pagi tadi. Jadi saya jangkakan kehadiran kita baik pada hari ini,” katanya kepada Bernama di sela-sela Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini.
Fahmi berkata program itu juga signifikan kerana berlangsung serentak dengan sambutan tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, selain menjadi platform tahunan kerajaan memberi pelaporan terus kepada rakyat.
“Dan kita sama-sama nantikan ucapan yang akan dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar lagi. Dan ini juga sambutan tiga tahun Kerajaan MADANI, jadi sangat bermakna. Tapi lebih penting daripada itu, usaha kita ke depan. Itu akan menjadi fokus,” katanya.
Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Serentak dengan itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 turut diadakan, menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri bagi membincangkan hala tuju reformasi perkhidmatan awam.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu telah menarik 304,107 pengunjung setakat dua hari penganjuran, dan jumlah itu dijangka terus meningkat pada hari terakhir program.
-- BERNAMA
