AM

KONSEP MALAYSIA MADANI BUKAN SLOGAN POLITIK

07/12/2025 01:52 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Konsep Malaysia MADANI bukan slogan politik seperti anggapan segelintir individu sebaliknya nilai kemanusiaan yang perlu ada pada setiap individu. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata persepsi itu tidak seharusnya wujud kerana menjejaskan usaha kerajaan memperkukuh nilai-nilai MADANI pada semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata perubahan amalan kerja lebih cekap melalui penggunaan teknologi seperti menggantikan fail fizikal dengan peranti digital juga merupakan satu daripada nilai MADANI iaitu “Daya Cipta”.

“Kalau berada di jabatan, nampak bilik kosong tetapi penyaman udara berfungsi tutuplah. Itu kelestarian (nilai Kemampanan).

“Jika dahulu semua bawa fail besar ke mesyuarat, saya kata bawa iPad (peranti) cukup. Itu namanya Daya Cipta. Jadi apa yang politik,” katanya.

Shamsul Azri berkata demikian ketika menjadi ahli panel forum pada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang diadakan sempena program Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Bagi memperluas pemahaman mengenai konsep itu, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memperkenalkan modul Malaysia MADANI dengan setiap penjawat awam wajib mengikuti modul tersebut.

Konsep diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandungi enam nilai teras, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. 

Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan