AM

KAMPUNG TEMELONG BERPOTENSI DIBANGUNKAN SEBAGAI DESTINASI REKREASI, PELANCONGAN DESA

07/12/2025 03:04 PM

LENGGONG, 7 Dis (Bernama) -- Kampung Temelong di sini dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) berdasarkan potensi besar Pulau Temelong untuk dibangunkan menjadi destinasi rekreasi dan pelancongan desa baharu di Lenggong. 

Ketua Pengarah JBSN Azura Abidin berkata keindahan alam semula jadi kawasan itu memberikan kelebihan kepada usaha pembangunan berasaskan rekreasi dan aktiviti air, sekali gus lokasi tersebut berpotensi menjadi lokasi pelancongan sukan serta ekopelancongan.

"Kami di kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) akan selalu merancang serta melaksanakan pelbagai aktiviti di sini yang melibatkan aktiviti rekreasi, ekopelancongan dan juga ekopendidikan.

"Apa yang akan kita laksanakan bermula tahun depan, pelbagai pengisian mungkin di peringkat JBS Perak dulu dengan beri keutamaan untuk mereka meneroka dan membuat jalinan kerjasama lebih baik bersama penduduk setempat serta kumpulan belia untuk datang ke sini bagi menikmati alam semula jadi, selain aktiviti yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Kampung Temelong di Pulau Temelong di sini secara bersama dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu dalam ucapannya, Azura berkata naik taraf infrastruktur antaranya pembaikan jeti, jalan, kemudahan tandas, tapak perkhemahan, dewan dan surau terbuka telah dilaksanakan di kampung itu bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengunjung.

"Secara keseluruhan, lebih 10 skop kerja berjaya disempurnakan dengan nilai projek hampir RM1 juta. Diharapkan ia cukup sebagai satu pelaburan yang signifikan untuk memacu pertumbuhan komuniti dan sektor pelancongan di Kampung Temelong," katanya.

Azura berkata potensi Pulau Temelong amat luas kerana ia bukan hanya menawarkan tapak perkhemahan, tetapi juga aktiviti sukan air seperti berakit, berkayak dan memancing yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia dan peminat rekreasi.

"Saya telah dimaklumkan bahawa jadual tempahan aktiviti rekreasi di Pulau Temelong bermula Januari hingga Februari 2026 telah penuh ditempah dan hal ini membuktikan inisiatif Kampung Angkat MADANI telah menampakkan hasil serta memberi impak positif terhadap sosioekonomi penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata projek Kampung Angkat MADANI itu memberikan manfaat kepada pembangunan masyarakat di kawasan tersebut, selain peranan JBS bakal membuka ruang untuk melaksanakan program melibatkan generasi muda di situ.

"Pemilihan ini (Kampung Temelong) tepat, sesuai dengan Lenggong sebagai kawasan pelancongan yang juga sedang diberi fokus oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan. Saya harap pengisian (program) selepas ini menjurus kepada mendidik generasi muda mencintai alam yang ada untuk masa depan mereka," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan