PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepat pembayaran yang masih tertunggak kepada pembayar cukai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu perlu kerana kerajaan tidak sepatutnya berhutang dengan rakyat, justeru Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan mula membuat bayaran balik secara berperingkat mulai esok kepada pembayar cukai yang layak.
Menurutnya, Kementerian Kewangan sedang meneliti keperluan menambah peruntukan sekiranya RM4 bilion itu masih tidak mencukupi.
“(Jika) belum cukup. Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican sedang meneliti bersama ketua pegawai eksekutif LHDN untuk melihat bagaimana jumlah ini harus ditambah.
“Ini soal MADANI, soal ihsan dan hormat. Ini soal moral juga. Kita harus kutip dan yang berhutang dengan negara harus cepat membayar. Jangan jadi amalan dulu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Beliau berkata peningkatan peruntukan itu diumumkan susulan rungutan peniaga kecil berhubung kelewatan bayaran balik cukai.
Mengenai kedudukan hutang negara, Anwar menjelaskan ia adalah hutang yang diwarisi pentadbiran terdahulu dan tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan reformasi institusi kekal menjadi keutamaan kerajaan termasuk pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) bagi memperkukuh pengurusan kewangan awam dan keyakinan pelabur.
Beliau berkata reformasi sistem Parlimen juga sedang diperluas dengan mewujudkan ruang dan kuasa pilihan yang lebih berfungsi, termasuk melibatkan kedua-dua Speaker dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memperkukuh semak dan imbang.
“Buat pertama kali, kita memberi ruang kepada ahli Parlimen pembangkang untuk mempengerusikan (jawatankuasa). itu perkembangan baru yang tidak pernah difikir, atau kalau pun difikir, tidak pernah dilaksanakan oleh mereka (kerajaan sebelum ini)," katanya.," katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan beberapa langkah reformasi akan dilaksanakan pada tahun hadapan, termasuk penubuhan Ombudsman yang kini sedang digubal oleh kementerian berkaitan bagi memperkukuh akauntabiliti sektor awam.
Selain itu, katanya Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 akan memberikan tekanan kepada penjawat awam untuk lebih bertanggungjawab dan membaiki prestasi.
Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula Jumaat lepas, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.
Acara itu merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
-- BERNAMA
