PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Jualan RAHMAH pada Program Rancakkan MADANI di sini menjadi tumpuan orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran.
Tinjauan Bernama mendapati selain pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak, ibu bapa turut mengambil kesempatan membeli kelengkapan sekolah anak-anak yang dijual pada program jualan murah berkenaan.
Seorang pengunjung Ramiza Abd Razak, 56, berkata penjimatan yang ditawarkan melalui Program Jualan RAHMAH amat membantu dalam mengurus perbelanjaan harian.
“Memang murah sangat, lampin pakai buang untuk cucu saya biasanya berharga RM33 atau RM34, tetapi hari ini dapat RM22 sahaja. Harga minyak masak dan telur pun sangat berbeza (berbanding di pasaran),” katanya.
Nurfarah Ain Abd Razak, 37, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang untuk ke program jualan berkenaan bagi membeli barangan keperluan harian.
“Kalau ada Jualan RAHMAH, memang kita tak mahu lepaskan peluang sebab susah nak dapat harga macam ini. Saya banyak beli barangan kering seperti mi segera dan biskut,” katanya.
Aiman Muzzammil Suhaimee, 28, pula membeli barangan makanan seperti telur, beras dan minyak masak yang dijual pada harga lebih murah berbanding biasa.
Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula Jumaat lepas turut menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa untuk orang ramai.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung.
-- BERNAMA
