PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 disifatkan langkah proaktif kerajaan dalam menyediakan jaminan perlindungan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Penerima dan waris SIKR Hasdezawati Mat Des, 42, berkata skim itu menjadi sumber sokongan utama yang meringankan beban kehidupannya sebagai ibu tunggal.
Wanita itu menerima bayaran tuntutan berjumlah RM13,500 selepas kematian adiknya dengan wang itu akan digunakan untuk menampung keperluan harian serta pendidikan anaknya.
“Arwah adik banyak membantu saya sebelum ini. Dengan adanya SIKR, sekurang-kurangnya saya dapat terus menyara keluarga selain merancang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.
“Saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan skim ini untuk bantu memudahkan urusan rakyat,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Hasdezawati berkata skim itu memberi manfaat besar kepada golongan memerlukan, terutamanya ibu tunggal dan keluarga kehilangan ketua isi rumah (KIR), juga berharap kerajaan memberi lebih tumpuan kepada kelompok tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan dua inisiatif di bawah agenda pembangunan rakyat, iaitu SIKR 3.0 dan Sahabat Penggerak MADANI.
SIKR merupakan pelan takaful berkelompok eksklusif patuh syariah percuma ditaja kerajaan bagi melindungi 300,000 KIR miskin dan miskin tegar berdaftar dengan pangkalan data eKasih di bawah bidang kuasa Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
SIKR siri pertama dilancarkan pada 2022 dengan sumbangan premium oleh kerajaan berjumlah RM13.4 juta bagi melindungi sebanyak 268,887 KIR eKasih.
Kadar pampasan di bawah SIKR 2.0 ditingkatkan kepada RM10,500 bagi kematian normal, kemalangan (RM25,500) serta kecacatan kekal akibat kemalangan (RM10,500).
Pekerja swasta Afiq Imran Isa, 32, berkata skim itu usaha proaktif kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan golongan kurang berkemampuan.
“Skim ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi rakyat, terutamanya mereka mengalami risiko kewangan akibat kehilangan ketua keluarga atau kematian. Insurans sebegini bukan murah dan bila kerajaan sediakan, rasa dihargai,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam Siti Suraya Sudin, 43, berkata Sahabat Penggerak MADANI merupakan inisiatif berimpak tinggi kerana dapat mewujudkan kesedaran kenegaraan dan memperkukuh pemahaman rakyat mengenai dasar kerajaan.
“Inisiatif ini amat sesuai kerana sekiranya Sahabat mempunyai kemahiran dan komunikasi seperti teknologi digital, ia sangat membantu dalam menyampaikan mesej kepada rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.
Sahabat Penggerak MADANI terdiri daripada individu yang dilatih Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sebagai ejen menyebarkan kesedaran kenegaraan, kepimpinan dan dasar kerajaan pada peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
