KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan tergesa-gesa dalam mengisi kekosongan jawatan dalam Kabinet.
Anwar berkata beliau telah memikirkan nama-nama yang sesuai dan perlu merujuk perkara itu bersama-sama pemimpin parti dalam Kerajaan MADANI sebelum sebarang keputusan dibuat.
Perdana Menteri berkata setakat ini, beliau belum berbincang tentang perkara itu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin DAP.
"Saya sedang memikirkannya. Saya tidak terburu-buru dan saya perlu berfikir selepas mendengar (nasihat daripada pemimpin parti). Saya belum lagi membincangkan perkara ini dengan semua pemimpin parti. Sudah tentu keputusan muktamad ialah prerogatif saya," kata beliau.
Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku terbaharunya Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times di Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.
Ditanya sama ada perkara itu merupakan rombakan Kabinet atau hanya mengisi kekosongan jawatan, Anwar berkata, "Mengisi kekosongan … ia menyebabkan rombakan kecil”.
Berhubung gesaan MCA supaya Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek digugurkan daripada Kabinet, Perdana Menteri berkata perkara itu sekadar cadangan daripada parti berkenaan.
"Terima kasih atas pandangan MCA, tetapi tidak mengapalah kerana ini ialah pandangan mereka," kata beliau.
Ketika ini, terdapat beberapa kekosongan dalam Kabinet MADANI, iaitu bagi portfolio Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
-- BERNAMA
