KUANTAN, 7 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu lori cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di kilometer (km) 182.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat Maran pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata kemalangan berlaku kira-kira 5.40 pagi, ketika dua lori dan sebuah bas persiaran dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas persiaran tanpa penumpang itu merempuh bahagian belakang sebuah lori.
”Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan dan sebuah lagi lori dari arah belakang melanggar bahagian belakang bas terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu lori berusia 61 tahun yang dirempuh bas berkenaan telah tersepit dalam kenderaan dipandunya, manakala dua lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan kejadian itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran dihantar ke lokasi dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian leher dan perut dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh bagi menerima rawatan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
-- BERNAMA
