AM

KRISIS INDIGO: PENERBANGAN TERUS CHENNAI-PULAU PINANG TIDAK TERJEJAS - EXCO

07/12/2025 06:23 PM

GEORGE TOWN, 7 Dis (Bernama) -- Penerbangan terus antara Chennai dan Pulau Pinang yang dikendalikan IndiGo Airlines tidak terjejas meskipun berlaku krisis operasi syarikat penerbangan tersebut yang menyaksikan pembatalan penerbangan hingga menyebabkan puluhan ribu penumpang keliru di India.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai yang mengesahkan perkara itu, berkata kapal terbang 6E1045 dari Chennai telah selamat mendarat pada 8.09 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini.

“Pagi ini penerbangan Chennai-Penang mendarat seperti biasa dan operasinya tidak terjejas sejak beberapa hari lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Krisis operasi IndiGo berpunca daripada kekurangan juruterbang dan kru penerbangan berikutan pelaksanaan peraturan baharu Had Masa Tugas Penerbangan (FDTL) yang menetapkan tempoh rehat lebih panjang kepada petugas.

IndiGo mengakui telah tersilap menilai jumlah juruterbang yang diperlukan di bawah peraturan FDTL baharu itu manakala kerajaan India turut mengarahkan siasatan terhadap “salah urus” IndiGo dan memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menentukan pihak bertanggungjawab atas kegagalan tersebut.

IndiGo melancarkan laluan baharu penerbangan terus Chennai ke Pulau Pinang bermula 21 Dis 2024 , menawarkan pengalaman penerbangan selesa dengan tempat duduk kelas perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan sistem hiburan dalam pesawat.

LTAPP menyaksikan peningkatan 51.43 peratus ketibaan pelancong India tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan