AM

PIDBR 2025 HIMPUN LEBIH 1,600 ATLET DI STRAITS QUAY

09/12/2025 11:56 AM

GEORGE TOWN, 9 Dis (Bernama) -- Penang International Dragon Boat Regatta (PIDBR) 2025 kembali berlangsung di Straits Quay Retail Marina dengan penyertaan antarabangsa yang memberangsangkan, menghimpunkan lebih 1,600 atlet dari 12 negara sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi sukan bertaraf dunia.

Regata yang diadakan dari 29 hingga 30 Nov itu memasuki tahun kedua penganjurannya di kawasan marina berkenaan dan terus menarik penyertaan serta kehadiran penonton yang tinggi. 

Edisi tahun ini turut memperkenalkan kategori para atlet membabitkan tiga kumpulan, sekali gus memperluas aspek inklusiviti dalam tradisi sukan berdayung yang lama bertapak.

Dalam kenyataan hari ini, Eastern & Oriental Bhd (E&O) selaku rakan penganjur lokasi berkata acara tersebut menarik lebih 100,000 penonton dan peserta, mencerminkan minat antarabangsa yang semakin kukuh.

Pertandingan menampilkan perlumbaan sejauh 250 meter dan 400 meter merangkumi kategori junior, senior dan terbuka antarabangsa, mewujudkan suasana meriah ketika pasukan bertanding berlatarbelakangkan marin air dalam dan kawasan promenade Straits Quay.

Pengerusi Eksekutif E&O  Datuk Seri Tee Eng Ho berkata semangat kerjasama dan perpaduan yang dizahirkan melalui regata itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam membina ruang pembangunan yang inklusif dan berdaya hidup di Pulau Pinang.

“Dengan kemajuan Straits Quay dan Pulau Andaman yang berjalan lancar, kami berbangga menyokong festival yang bukan sahaja menghidupkan kawasan waterfront kami, malah mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama untuk sukan, budaya dan komuniti,” katanya.

E&O turut memaklumkan bahawa persiapan sedang giat dijalankan bagi dua acara pada 12 Dis ini iaitu pembukaan Jambatan Gurney dan Pasar Perayaan Andaman yang menampilkan vendor tempatan serta reruai komuniti.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan