AM

RSNPP 2040 LAKSANA BEBERAPA PENAMBAHBAIKAN DAN KAJIAN SEMULA

09/12/2025 02:30 PM

GEORGE TOWN, 9 Dis (Bernama) -- Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2040 akan melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk kajian semula dasar ketinggian pembangunan dan penyelarasan kawasan sensitif alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata antara perkara dinilai ialah dasar pembangunan melebihi 76 meter (m) daripada paras laut yang sebelum ini tidak dibenarkan.

Beliau berkata kajian itu turut mengambil kira kekangan sebenar negeri, terutamanya berkaitan kekurangan tanah dan kewujudan banyak kawasan sensitif alam sekitar.

“Sebelum ini dasar pembangunan melebihi aras 76m daripada paras laut tidak dibenarkan, namun kini dibuka untuk penelitian semula berdasarkan input teknikal. Contohnya ada kawasan pada aras 80m tetapi permukaannya rata dan sesuai untuk pembangunan. 

“Melalui kajian semula, kita akan teliti tahap ketinggian wajar dibenarkan seperti kawasan di Cameron Highlands yang mempunyai dasar pembangunan melebihi 150m dan ia menunjukkan keperluan Pulau Pinang menilai semula had itu berdasarkan kesesuaian setempat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

H'ng berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjaun RSNPP 2040 (Kajian Semula) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa (PLANMalaysia) Saidin Lateh serta Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang Datuk Rozita Hamit.

H'ng berkata kerajaan negeri merancang mewartakan RSNPP 2040 pada suku ketiga tahun hadapan dan orang awam boleh mengemukakan pandangan, cadangan atau bantahan sepanjang tempoh publisiti sehingga 23 Dis.

Beliau berkata pameran RSNPP 2040 berlangsung di ruang legar tingkat tiga dan 57 Komtar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai selain maklum balas boleh diberikan melalui kod QR disediakan.

“Selepas tempoh publisiti, sesi pendengaran akan berlangsung dalam tempoh sebulan sebelum laporan dimuktamadkan. Semua maklum balas awam akan dinilai secara terperinci oleh panel teknikal sebelum sesi pendengaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan