KUANTAN, 9 Dis (Bernama) -- Perancangan pembangunan pusat data di Pahang akan dipantau agar selaras dengan keupayaan infrastruktur negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib berkata pembangunan pusat data memerlukan penggunaan elektrik dan air yang tinggi.
“Sekiranya infrastruktur sedia ada telah mencapai kapasiti maksimum atau pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memaklumkan bahawa sumber air terhad, kita tidak akan meluluskan pembinaan pusat data tambahan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) mengenai perancangan kerajaan negeri susulan langkah Kerajaan Johor yang membatalkan cadangan pembangunan pusat data tahap 1 dan 2 kerana penggunaan bekalan air yang tinggi.
Mohamad Nizar berkata dua kawasan telah dikenal pasti sesuai untuk pembangunan pusat data iaitu di Gebeng dan Gambang, yang masing-masing mempunyai bekalan air dan elektrik mencukupi serta kemudahan laluan gentian optik yang memadai.
“Kita akan memantau sebaik mungkin. Jika terdapat keperluan (menambah pusat data), kita akan melihat kekuatan infrastruktur bagi menyokong pembangunan tersebut,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya juga memantau perkembangan industri pusat data, berikutan pandangan pakar ekonomi bahawa pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) mungkin tidak mampan dalam jangka panjang atau berpotensi menjadi ‘economic bubble’.
“Setakat ini, masih tiada syarikat AI yang mampu menunjukkan model perniagaan benar-benar menguntungkan. Menurut laporan Financial Times, syarikat OpenAI, pelopor ChatGPT, mempunyai sekitar 800 juta pengguna, tetapi hanya lima peratus daripadanya pelanggan berbayar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang Datuk Amizar Abu Adam ketika menjawab pertanyataan V Arumugam (BN-Sabai) memaklumkan Pahang mecatatkan 38,577 bilangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) setakat 2024.
Beliau berkata pemilihan sektor tertumpu antaranya kepada perkhidmatan seperti aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, dobi, bengkel selain agensi pelancongan serta hospitaliti.
Selain itu, sektor pembinaan turut menjadi pilihan melibatkan ekosistem kerja-kerja kontraktor kecil dan pembekalaan bahan binaan selain sektor pembuatan yang memfokuskan pembuatan makanan dan kayu.
“Bagi sektor pertanian, di Cameron Highlands, aktiviti agropelancongan dan tanaman kontan turut berkembang dengan 369 PMKS pertanian direkodkan di Kuantan,” katanya.
Mengulas lanjut, Amizar berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan kepada PMKS antaranya menerusi program 4P iaitu pelabelan, pembungkusan, penjenamaan, dan promosi.
-- BERNAMA
