AM

KESESAKAN PELABUHAN SEPANGGAR SEDANG DITANGANI - EWON

09/12/2025 04:18 PM

KOTA KINABALU, 9 Dis (Bernama) -- Isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar kini sedang ditangani melalui usaha menaik taraf serta meningkatkan kapasiti infrastruktur pelabuhan berkenaan, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.

Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata projek penaiktarafan sedang dilaksanakan namun berdepan kelewatan, sekali gus memerlukan perhatian serius kerana setiap lanjutan masa memberi implikasi langsung terhadap kelancaran operasi dan ekonomi negeri.

“Usaha menaik taraf dan meningkatkan kapasiti di Pelabuhan Sepanggar sedang berjalan walaupun berlaku kelewatan. Lanjutan masa (EOT) kali keempat telah diberikan.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Saya bertanggungjawab memantau pelaksanaan kerana sebarang kelewatan penaiktarafan pelabuhan Sepanggar merupakan kerugian kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat menyeluruh mengenai prestasi semasa, peranan dan hala tuju pembangunan pelabuhan di seluruh negeri sempena kunjungan rasminya ke Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) di sini.

Ewon berkata kementeriannya dan LPPS perlu bergerak seiring bagi memastikan semua projek penaiktarafan pelabuhan utama disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengendalian dan menyokong pertumbuhan perdagangan negeri.

Beliau turut berkongsi fokus kementerian selaras peluasan portfolio pengangkutan yang kini berada di bawah tanggungjawabnya, termasuk usaha memastikan rangkaian logistik Sabah berada pada tahap optimum.

“Saya yakin LPPS akan terus menyumbang kepada usaha mengawal selia pembangunan pelabuhan di seluruh Sabah, yang merupakan pembolehubah penting kepada pelaburan industri di negeri ini.

“Saya juga berharap pasukan Sabah First di LPPS terus diperkasakan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pemegang-pemegang taruh,” katanya.

Menurut beliau, LPPS bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan terhadap jeti persendirian, termasuk yang dikendalikan kilang besar, bagi memastikan hasil negeri tidak terlepas.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan kementerian lain, khususnya berkaitan laluan dari Taman Perindustrian ke pelabuhan, serta dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan berkaitan keperluan pembangunan perindustrian di Sabah,” katanya.

Setakat Januari hingga Oktober 2025, LPPS melalui Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Pelabuhan Tawau dan Pelabuhan Sandakan telah mengendalikan sebanyak 445,054 TEU (twenty-foot equivalent units) kontena.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan