AM

ISLAND HOSPITAL PULAU PINANG DIUMUMKAN HOSPITAL PELANCONGAN UTAMA 2025 TERBAIK

09/12/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Island Hospital Pulau Pinang diumumkan sebagai pemenang Hospital Pelancongan Perubatan Utama (FMTH) (Flagship Medical Tourism Hospital) 2025 sekali gus mengiktiraf kecemerlangannya dalam perkhidmatan perubatan, penjenamaan antarabangsa dan penjagaan berpusatkan pesakit.

Hospital berkenaan turut menerima anugerah Inovasi Digital dalam Penyampaian Perkhidmatan Pesakit dalam anugerah yang julung kali diadakan itu.

Kemenangan itu diumumkan pada Majlis Anugerah FMTH 2025 yang berlangsung di sini hari ini, dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, Dzulkefly berkata inisiatif FMTH mencerminkan komitmen Malaysia terhadap kecemerlangan klinikal dan penyampaian perkhidmatan berkualiti tinggi, di samping mengukuhkan lagi reputasi negara sebagai destinasi pilihan untuk rawatan perubatan, kesejahteraan dan pemulihan.

“Sektor ini bukan sahaja menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi tetapi juga menyokong pertumbuhan industri berkaitan seperti farmaseutikal, hospitaliti dan teknologi,” katanya.

Finalis FMTH lain termasuk Institut Jantung Negara (IJN) yang memperoleh anugerah Kecemerlangan Perubatan dan Kecemerlangan Teknologi Perubatan, Mahkota Medical Centre Melaka (Peneraju Perkongsian Industri Strategik) dan Subang Jaya Medical Centre meraih anugerah Kemerlangan Jenama (Brand Distinction Excellence).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan (MHTC) Suriaghandi Suppiah dan Duta Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dalam ucapannya, Suriaghandi berkata inisiatif FMTH, yang diperkenalkan pada 2019 dengan rangka kerja penilaiannya yang dilancarkan pada 2021, direka untuk memastikan Malaysia berdaya saing dalam landskap penjagaan kesihatan global yang semakin mencabar dengan meningkatkan piawaian hospital agar sepadan dengan penanda aras terkemuka antarabangsa.

“Di bawah program ini, hospital diubah menjadi pusat kecemerlangan, dibezakan oleh kualiti perubatan, standard perkhidmatan dan reputasi antarabangsa.

"Matlamatnya adalah untuk membina institusi yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi juga mengangkat amanah negara, profesionalisme dan penjagaan berciri belas kasihan," katanya.

Menurut MHTC, Program FMTH mengukuhkan jenama penjagaan kesihatan global Malaysia menerusi penilaian bebas, mekanisme pengiktirafan dan penanda aras antarabangsa.

Elemen itu memberikan isyarat kepercayaan yang kuat kepada pelancong penjagaan kesihatan dan menaikkan hospital Malaysia dengan kualiti, kecemerlangan perkhidmatan dan kekuatan jenama global.

Pemenang anugerah itu dijangka meningkatkan keterlihatan Malaysia merentas pasaran utama termasuk ASEAN, Oceania, Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Timur, Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika, di mana permintaan untuk penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik terus berkembang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan