AM

PROGRAM PERLINDUNGAN SOSIAL PERLU INKLUSIF, MERANGKUMI SEMUA SEGMEN MASYARAKAT - PM

09/12/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan keperluan melaksanakan program perlindungan sosial secara inklusif, merangkumi seluruh negara dan semua segmen masyarakat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pendekatan inklusif itu merangkumi penyediaan perkhidmatan penting seperti pusat rehabilitasi serta semakan semula undang-undang dan peraturan berkaitan supaya pelaksanaan inisiatif dapat dipercepat dan memberi impak terbaik kepada rakyat.

“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-9 Bil. 2 Tahun 2025 bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan agenda perlindungan sosial negara.

“Mesyuarat turut mengambil maklum penambahbaikan sistem PADU (Pangkalan Data Utama) yang dipacu Kementerian Ekonomi serta pembentangan kertas kerja oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), Bank Dunia dan Kementerian Ekonomi dalam usaha memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada PERKESO atas pelantikan semula sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026-2028, yang disifatkan sebagai pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas global.

Beliau turut menghargai penerbitan Statistik Perlindungan Sosial Malaysia 2024 sebagai rujukan penting dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat di seluruh negara.

Sementara itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Anwar berkata beliau turut menghadiri pembentangan khas Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (2026-2035), yang merupakan satu gagasan atau rangka kerja jangka panjang untuk memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata sebagai dokumen hidup, pelan itu akan terus berkembang sejajar dengan percambahan pelbagai teknologi baharu dewasa ini.

“Melalui pendekatan antara disiplin dan penyelidikan berorientasikan misi, ia akan memacu transformasi masyarakat serta inovasi ke arah sebuah negara yang harmoni, makmur, berteknologi maju dan mampan.

“Rencana ini adalah asas penting untuk memastikan sistem pendidikan tinggi kita lebih inklusif, berkualiti dan berdaya saing ke arah melahirkan generasi masa depan yang bersedia menghadapi tantangan dan cabaran masa depan yang bertali arus,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan