AM

NEGERI SEMBILAN PERLU AMBIL MANFAAT KEDUDUKAN STRATEGIK, TARIK PELABUR BAHARU

09/12/2025 06:29 PM

SEREMBAN, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan digesa bertindak lebih proaktif merangsang ekonomi negeri ketika ekonomi negara kukuh dengan aliran kemasukan pelabur antarabangsa terus meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan juga menekankan keperluan kerajaan negeri untuk memudah cara urusan pelaburan termasuk penyediaan tapak industri yang tersusun dan jelas mengikut klasifikasi agar pelabur tidak berdepan kekangan birokrasi.

Beliau yang juga Menteri Luar berkata kedudukan strategik dalam Greater Klang Valley meletakkan negeri pada laluan pertumbuhan ekonomi serantau menjadikan usaha menarik pelabur melalui inisiatif Negeri Sembilan Fast Lane perlu dilaksanakan dengan lebih efisien dan menyeluruh.

“Kita perlu memudah cara pelabur supaya dapat mengurus dan mendirikan industri di Negeri Sembilan sekali gus memberi peluang pekerjaan di sini. Saya bercakap dalam Kabinet, Negeri Sembilan dekat (jadi) pelabur lebih mudah datang. 

“Tetapi kita (kerajaan negeri) mesti wujudkan segera kawasan sesuai untuk pelabur mendirikan industri strategik,” katanya semasa sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu turut menyeru kerajaan negeri segera merangka pelan rangsangan ekonomi dan memanfaatkan sepenuhnya kedudukan strategik dalam rangkaian logistik serantau.

Mohamad turut mencadangkan industri berisiko pencemaran harus ditempatkan di kawasan hiliran untuk melindungi sungai utama seperti Sungai Linggi yang menjadi sumber air kepada penduduk Seremban dan Port Dickson.

“Sebagai anak jati Negeri Sembilan, saya mahu negeri ini membangun bersama-sama menikmati pertumbuhan ekonomi dan mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Asna Amin (BN-Lenggeng) berkata langkah kerajaan negeri memperkenalkan Negeri Sembilan Fast Lane untuk mempercepat proses kelulusan pelaburan dijangka meningkatkan daya tarikan negeri kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Seremban kerana menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama melaksanakan sistem itu dan berharap diikuti PBT lain termasuk Port Dickson, terutamanya bagi projek berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Kenapa pelaburan penting? Kita boleh lihat, projek tenusu F&N (Fraser & Neave Holdings Bhd) di Gemas membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan secara berperingkat. Gemas dan Tampin mendapat limpahan pelaburan dengan pelbagai peluang sekali gus meningkatkan pelaburan negeri,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang) meminta kerajaan negeri mewujudkan pelancongan berkaitan Orang Asli termasuk membina rumah atau inap desa berasaskan adat dan budaya mereka sebagai tarikan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. 

Beliau berkata ia sekali gus membuka peluang ekonomi dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat itu.

Choo Ken Hwa (PH-Lukut) berharap semua penginapan termasuk inap desa didaftarkan secara rasmi dengan pihak berkuasa bagi memastikannya beroperasi mengikut piawaian minimum untuk keselamatan dan keselesaan pengunjung serta penduduk setempat.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan