KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi komitmen tinggi untuk menyelesaikan pelbagai isu tertangguh termasuk membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sejak dua tahun kebelakangan ini, KPM menumpukan usaha menyelesaikan satu demi satu isu yang telah berlanjutan sekian lama termasuk projek pembinaan baharu dan penambahbaikan infrastruktur SJKT.
Beliau berkata antara keutamaan semasa ialah menyelesaikan pembinaan SJKT Sungai Bakap, Pulau Pinang yang lama tertangguh kerana isu tanah dan hutang, bagi membolehkan tender pembinaan sekolah itu dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Dana bagi projek berkenaan telah pun disediakan dan KPM kini memberi tumpuan menyelesaikan proses yang masih berjalan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya selepas Majlis Peluncuran Penyerahan Smart Board bagi SJKT di SJKT Vivekananda, Brickfields di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Wong berkata bagi SJKT Ladang Jeram di Kuantan, Pahang, kelulusan lokasi sekolah berkenaan telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026, dengan pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
SJKT Ladang Jeram pada asalnya dibina menggunakan kayu pada 1952 oleh Jeram Estate Sdn Bhd sebelum dirobohkan selepas dijual untuk projek pembangunan perumahan sekitar 1990-an.
Murid dilaporkan menghadiri pembelajaran di kabin sementara bangunan baharu dibina, namun belum siap dibina sehingga sekarang.
Wong berkata komitmen berterusan KPM turut membolehkan beberapa isu lama telah diselesaikan sejak tahun lepas termasuk melibatkan SJKT Ladang Sagga di Rantau, Negeri Sembilan dan SJKT Ladang Sungai Reyla di Sungai Siput, Perak.
Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya mengulangi jaminan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan menutup mana-mana sekolah vernakular termasuk SJKT kerana ia termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
“Kami di KPM akan mempertahankannya. Kami menjaga semua sekolah, memastikan pendidikan berkualiti untuk semua anak bangsa,” katanya.
-- BERNAMA
