AM

ANWAR UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN SUK PKR PULAU PINANG

09/12/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Setiausaha Kerja (SUK) PKR Pulau Pinang Allahyarham Hasbul Syafiqi Hasbullah atau lebih dikenali sebagai Black, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan banyak berjasa dalam menggerakkan perjuangan parti di negeri itu.

"Sepanjang hayatnya, Allahyarham memainkan peranan yang amat penting dalam menggerakkan kerja-kerja KEADILAN di Pulau Pinang, khususnya di Permatang Pauh, tempat yang begitu dekat di hati saya," kata beliau. 

Anwar turut mendoakan agar keluarga Hasbul Syafiqi dikurniakan kekuatan menghadapi ujian itu serta roh Allahyarham diampunkan segala dosa dan ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan