AM

TERMINAL 2 KLIA TAMBAH BAIK 16 FASILITI MENJELANG TMM2026

09/12/2025 08:33 PM

SEPANG, 9 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melaksanakan 16 inisiatif penambahbaikan fasiliti di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mempertingkatkan aliran penumpang, keselesaan dan kecekapan operasi sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengurus Besar Operasi T2 KLIA Shahrunnizam Abd Jamil berkata penambahbaikan itu tertumpu pada proses penting membabitkan penumpang termasuk daftar masuk, menaiki pesawat dan pengendalian bagasi, selaras dengan peningkatan trafik penumpang terutamanya semasa musim puncak dan perayaan.

"Kami telah melakukan beberapa penambahbaikan berdekatan kaunter daftar masuk. Dan kemudian, kami juga mempunyai SSBD (self service bag drop atau penyerahan bagasi kendiri) ini dan juga membuka daftar masuk beg berhampiran kawasan berkenaan. 

"Jadi, ini bagi memastikan tiada barisan menunggu panjang ketika mereka melakukan semua proses. Jadi, semua aliran akan lancar dan penumpang akan mendapat pengalaman yang sangat baik," katanya kepada pemberita selepas tinjauan naik taraf terkini dan perkhidmatan baharu, di sini hari.

Shahrunnizam berkata MAHB akan turut memantau pergerakan penumpang di kawasan berlepas dan ketibaan bagi memastikan fasiliti itu mampu menampung kapasiti lebih tinggi sambil mengekalkan keselamatan.

Berhubung hal itu, beliau berkata naik taraf tersebut adalah berpandukan maklum balas penumpang dan analisis data, termasuk komen yang diterima menerusi media sosial selaras dengan pendekatan berfokuskan pelanggan MAHB.

"Sebagai contoh, kami telah menaik taraf tandas kami kepada standard lima bintang. Kami juga menambah baik surau supaya orang ramai dapat menunaikan solat dengan selesa. Suasana kini lebih baik dan semua kemudahan disediakan untuk penumpang transit," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penambahbaikan itu, beliau berkata troli bagasi yang direka bentuk baharu telah diperkenalkan untuk meningkatkan keselamatan khususnya di kawasan menurun seperti eskalator, manakala kerusi roda tambahan dan kereta sorong kanak-kanak turut disediakan bagi memenuhi keperluan keluarga, warga emas dan penumpang berkeperluan khas.

Katanya, pembukaan 'Movie Lounge' di T2 bertujuan menyediakan hiburan asas kepada penumpang terutama mereka yang tempoh transitnya lama.

Bagi menyokong TMM2026, beliau berkata MAHB bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mempromosikan produk budaya dan pelancongan tempatan di terminal itu.

"Ini termasuk menyediakan ruang untuk pameran kebudayaan, promosi pelancongan dan persembahan kebudayaan untuk penumpang yang tiba,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan turut dilakukan di luar bangunan terminal termasuk kerja-kerja landskap dan pemasangan papan tanda ‘Welcome to Malaysia’ di pintu-pintu masuk utama lapangan terbang.

Mengenai penswastaan ​​MAHB, beliau berkata proses itu membolehkan keputusan dibuat lebih pantas di peringkat operasi justeru membolehkan penambahbaikan dilaksanakan dalam jangka masa lebih singkat.

Beliau juga menangkis persepsi mengenai T2 KLIA sebagai terminal kos rendah menyatakan bahawa kemudahan dan infrastruktur di situ setanding dengan yang ada di Terminal 1.

"Terminal 2 bukan lapangan terbang tambang rendah. Ia dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah, tetapi infrastruktur dan piawaian perkhidmatan berada pada tahap antarabangsa," katanya.

Mengenai sambutan penumpang terhadap naik taraf itu, beliau berkata penambahbaikan di kedai makan dan minuman, kemudahan penyerahan bagasi kendiri, pencarian laluan dan pengerahan perkhidmatan pelanggan telah diterima secara positif.

Beliau menambah kerja-kerja penambahbaikan itu mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan, tetapi apabila ditanya mengenai jumlah kos, katanya angka itu akan dikongsikan kemudian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan