KUANTAN, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang diminta merealisasikan potensi Lapangan Terbang Kuantan sebagai hab penerbangan utama Pantai timur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai V. Arumugam berkata ketika ini hanya terdapat penerbangan langsung setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta penerbangan tiga kali seminggu dari Singapura serta penerbangan carter.
“Penerbangan domestik terus dari Lapangan Terbang Subang, Pulau Pinang dan Malaysia Barat seperti Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) sudah pasti akan menyediakan jaringan penerbangan yang kompetitif selain dari destinasi negara ASEAN lain.
“Saya mencadangkan kerajaan negeri dan Tourism Pahang mengadakan sesi libat urus dengan syarikat penerbangan bagi merealisasikan potensi sebenar Lapangan Terbang Kuantan,” katanya ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Selain itu, Arumugam memohon kerajaan negeri mempertimbangkan mengkaji potensi Gunung Halia di Karak yang mempunyai keindahan semula jadi serta sesuai bagi aktiviti riadah dan rekreasi, terutamanya aktiviti mendaki.
“Saya faham memandangkan ia khazanah semula jadi, sebarang pembangunan perlu memastikan kelestarian kawasan itu. Saya harap kerajaan negeri dapat membuat kajian yang telus bagi membangunkan Gunung Halia sebagai produk pelancongan Pahang,” katanya.
Pada persidangan itu, Haris Salleh Hamzah (ADUN Lantikan) mencadangkan penubuhan Pusat Interpretasi Raflesia Pahang sebagai pusat pendidikan biodiversiti negeri sebagai antara usaha memulihara khazanah alam.
Beliau juga mencadangkan penubuhan Dana Amanah Central Forest Spine Pahang dinilai dan dipertimbangkan untuk pembiayaan pemuliharaan jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada belanjawan tahunan.
Selain itu, Haris Salleh turut menekankan kepentingan pemerkasaan komuniti setempat seperti pemuda Orang Asli dilatih sebagai pemandu ekopelancongan profesional bertauliah supaya aktiviti pemuliharaan dapat menjadi sumber pendapatan mereka.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
