AM

MAXIS ANUGERAH BIASISWA KEPADA 10 MAHASISWA BERPOTENSI PACU MASA DEPAN DIGITAL

09/12/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Maxis Berhad (Maxis) menganugerahkan biasiswa kepada 10 pelajar prasiswazah cemerlang di bawah Program Biasiswa Maxis 2025 yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan sumbangan kepada komuniti.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu bertujuan menyokong pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bidang lain yang penting kepada pertumbuhan digital dan ekonomi negara.

"Program ini mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan generasi pemimpin masa depan yang bersedia dalam bidang digital dan inovasi.

"Biasiswa ini merangkumi yuran pengajian penuh, elaun sara hidup dan akses keutamaan kepada peluang latihan industri dan kerjaya bersama-sama Maxis selepas tamat pengajian, tertakluk pada keperluan akademik dan program," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er berkata pihaknya berbesar hati menyokong pelajar berbakat ini dan yakin mereka akan memberikan impak positif dalam bidang yang diceburi.

"Penerima biasiswa tahun ini menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi, pemikiran yang matang dan kesediaan untuk belajar. Dengan bimbingan dan peluang yang tepat, sifat-sifat ini akan membantu mereka berkembang menjadi pemimpin dan inovator yang negara kita perlukan," katanya dalam kenyataan itu.

Pengerusi Maxis Datuk Johan Idris menyampaikan biasiswa berkenaan kepada penerima dalam satu majlis di Menara Maxis di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Setakat ini, penyedia penyelesaian bersepadu terkemuka di Malaysia itu telah menyokong lebih 350 pelajar melalui inisiatif biasiswa, menunjukkan komitmen berterusan syarikat berkenaan terhadap pendidikan dan pembangunan bakat sebagai sebahagian daripada misi yang lebih luas untuk memperkukuh ekosistem digital negara.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Sunway S.K. Dashvin Kumar berkata biasiswa yang diterimanya itu akan menjadi pengalaman transformatif yang mencabar dirinya dan membantu menjadi individu yang dicita-citakannya.

Lim Sin Thong, pelajar perakaunan di Universiti Putra Malaysia berkata dia bersyukur atas peluang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Maxis.

"Dipilih sebagai penerima biasiswa oleh satu daripada syarikat terbesar di Malaysia membuatkan saya rasa segala usaha selama ini akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Petronas Nur Ain Safiyyah Mohmad Zahid yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat berkata biasiswa itu akan memberikan sumber dan peluang berharga untuk membantunya berkembang sebagai seorang individu, membina keyakinan diri dan memperjelas hala tuju kerjayanya.

"Saya amat berterima kasih atas sokongan ini dan berharap dapat memperoleh kemahiran serta pengetahuan untuk memberikan sumbangan bermakna pada masa hadapan," katanya.

Program Biasiswa Maxis 2025 mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan tenaga kerja yang sedia kecerdasan buatan (AI) dan dipacu inovasi yang akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia.

Dengan melabur dalam pelajar berpotensi tinggi, Maxis berhasrat untuk memperkasakan generasi pemikir, pembina dan perintis digital seterusnya yang akan menyumbang secara penuh bermakna kepada kemajuan negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan