Daripada Muhammad Saufee Rosman
ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye akan memberikan makna sebenar kepada nilai persahabatan strategik kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye selama tiga hari bermula Selasa memberi tumpuan kepada perbincangan substantif bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau berkata pertemuannya dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dijadualkan pada Rabu akan menumpukan usaha memperluas kerjasama, antaranya dalam bidang perdagangan, pelaburan, diplomasi, pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan.
“Kunjungan ini saya anggap amat penting. Presiden bergurau dengan saya, jika tidak datang, beliau tidak mahu berkawan lagi kerana beliau telah membuat lawatan ke Malaysia, dan saya menganggap beliau sebagai sahabat karib,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Diaspora Malaysia di sini, Selasa.
Majlis yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Erdogan sebelum ini mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia pada Februari 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye itu dibuat selepas hampir tiga tahun memegang jawatan Perdana Menteri, sekali gus memenuhi jemputan Erdogan yang sering mengingatkannya agar tidak melengahkan kunjungan berkenaan.
“Namun saya beritahu beliau, walaupun belum ada lawatan rasmi sebelum ini, saya telah dua kali ke Turkiye, dengan kunjungan pertama dibuat selepas gempa bumi besar yang melanda negara itu.
“Selepas itu, saya singgah beberapa jam dari Riyadh, Arab Saudi ke sini sebelum ke Kaherah, Mesir bagi bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dalam usaha mendapatkan sokongan negara Islam yang lebih tegas membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.
Terdahulu, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini pada 7.13 malam waktu tempatan (12.13 pagi waktu Malaysia) bagi mengadakan lawatan rasmi sehingga 8 Jan.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), dengan republik itu terus kekal sebagai rakan ekonomi penting Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, selain menjadi destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar di rantau berkenaan, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).
-- BERNAMA
